Showing posts with label Himpunan Hadith. Show all posts
Showing posts with label Himpunan Hadith. Show all posts

Thursday, 10 June 2010

Pantang Menyerah Sebelum Ajal

Tajuk :
Pantang Menyerah Sebelum Ajal
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a, nabi s.a.w bersabda:”Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau berikhtiar) maka hendaklah ia berdoa:”Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku.”
(Bukhari)

Huraian
Sebagaimana maklum Islam menyuruh umatnya agar berusaha dan berikhtiar dalam apa jua perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT. Hal ini kerana kehidupan itu adalah suatu ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia demi menguji sejauhmanakah keteguhan iman seseorang itu dan setakat manakah pergantungannya terhadap Allah. Orang-orang yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah dalam dugaan ini dan sebaliknya pula bagi orang yang kurang imannya di mana hal yang demikian boleh memungkinkan seseorang itu menyalahkan takdir Allah hingga diri tersesat jauh dari jalan-Nya. Oleh itu hendaklah kita sentiasa beringat bahawa setiap kesakitan yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya di mana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberinya ganjaran pahala yang amat besar. Bukankan setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka kita selaku hamba-Nya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa. Hidup adalah suatu perjuangan. Bak kata pahlawan Melayu’Pantang menyerah sebelum ajal!’.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Beribadat Dalam Suasana Huru-hara

Tajuk :
Beribadat Dalam Suasana Huru-hara
Hadith :
Daripada Mukkil bin Yasar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Beribadat dalam keadaan kekacauan (huruhara/malapetaka) sama kelebihannya dengan berhijrah kepadaku”
(Muslim)

Huraian
1. Umat Islam hendaklah hidup dengan bantu membantu di antara satu sama lain, apalagi jika terdapat segolongan manusia yang sedang menghadapi kesusahan seperti berlakunya sesuatu malapetaka.
2. Umat Islam juga hendaklah sentiasa berpegang dengan ajaran al-Quran dan al-sunnah dalam semua keadaan dan walau di mana mereka berada di mana orang yang patuh dalam melakukan amal ibadat sekalipun dilanda keadaan gawat seperti peperangan, kesakitan, huru hara dan sebagainya untuk mereka adalah ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT.
3. Berhijrah adalah suatu perjuangan dari semua bentuk kesusahan, ancaman, malapetaka dan sebagainya kepada keamanan, keselamatan dan kesejahteraan hidup. Semua itu memerlukan kekuatan iman dan jiwa sehingga seseorang itu berjaya dan beroleh kemenangan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kepentingan Mengingati Mati

Tajuk :
Kepentingan Mengingati Mati
Hadith :
Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".

Abu Sa'id r.a

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menghormati bapa

Tajuk :
Menghormati bapa
Hadith :
DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:“Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.”

Riwayat Muslim

Huraian
1. Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.
2. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.
3. Oleh itu bagi mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan pergaulan yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain.

€
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menghina Orang Lain

Tajuk :
Menghina Orang Lain
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”

Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi


Huraian
i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Mempercayai Ramalan Bintang

Kategori : AKIDAH Tauhid Iman
Tajuk :
Mempercayai Ramalan Bintang
Hadith :
Dari Zaid bin Khalid, katanya: “ Kami bersembahyang subuh dengan Rasulullah s.a.w di Hudaibaiah, sedangkan pada malamnya hujan turun. Setelah selesai, beliau menghadapkan mukanya kepada orang banyak seraya berkata: Tahukah anda apa yang telah dikatakan Allah?” Jawab mereka itu: “Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui.” Kata Rasulullah s.a.w.: “Allah telah berkata: “Pada pagi ini ada di antara hamba-hamba-Ku yang percaya kepada-Ku dan ada pula yang ingkar; adapun yang menyatakan: “ Kita telah didatangkan hujan dari kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka orang itulah yang beriman kepada-Ku dan ingkar kepada bintang-bintang; adapun yang berkata, kita telah dituruni hujan sebab bintang Anu dan bintang Anu, maka orang itulah yang ingkar kepada-Ku dan percaya kepada bintang-bintang.”

(Muslim)


Huraian
Bintang adalah salah satu daripada ciptaan Allah SWT yang berfungsi sebagai penunjuk arah bagi pelaut dan nelayan selain sebagai penghias cakerawala. Justeru adalah satu pemikiran yang sesat apabila ada orang yang beranggapan bahawa bintang-bintang tersebut mempunyai kuasa yang mampu mempengaruhi nasib dan perjalanan hidup manusia sebagaimana yang menjadi bahan kepercayaan muda mudi sekarang terhadap bintang Capricon, Aquarius, Pisces, Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio dan Sagittarius. Sebagai umat Islam kita dilarang mempelajari hal yang bersifat tekaan untuk meramal nasib manusia bahkan ia merupakan suatu perbuatan syirik dan berunsur jahiliyah serta termasuk dalam kategori sihir dan mendustakan takdir sedangkan mereka yang mendustakan takdir jelas termasuk di dalam golongan musyrik.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kembali Ke Asalnya

Kategori : AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Kembali Ke Asalnya
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Allah Taala menjadikan Adam pada permulaan kejadiannya ialah seperti rupanya di bumi, tingginya enam puluh hasta. Setelah dia selesai tercipta, Allah Taala berfirman kepadanya:”Pergilah kepada kelompok malaikat yang sedang duduk. Dengarkan jawapan mereka menjawab salammu. Begitulah cara kamu dan cara anak cucumu nanti memberi salam (penghormatan).” Maka pergilah Adam kepada kelompok malaikat itu, lalu diucapkannya salam:”Assalamualaikum” (selamat sejahtera ke atasmu). Jawab para malaikat:”Assalamualaika warahmatullah” (selamat sejahtera ke atas kamu juga dan beroleh rahmat Allah). Firman Allah:”Setiap orang yang masuk syurga bentuknya seperti Adam. Tingginya enam puluh hasta, sekalipun makhluk kemudian semakin pendek hingga sekarang.”

(Muslim)


Huraian
Allah menciptakan manusia dengan sempurna iaitu diberikan bentuk tubuh yang baik, akal fikiran dan nafsu, kemudian manusia itu sendiri yang menentukan mampu atau tidaknya menggunakan pemberian Allah itu dengan baik. Roh adalah penggerak yang menghidupkan seluruh anggota badan. Firman Allah yang bermaksud:"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya " (al Bayyinah:4-6).

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kerana Jihad

Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk :
Kerana Jihad
Hadith :
Dari Jundub bin Sufyan r.a katanya: “Jari Rasulullah s.a.w berdarah kerana luka dalam suatu peperangan. Maka bersabda Rasulullah s.a.w :”Bukankah engkau hanya sebatang jari yang berdarah. Dan ini terjadi ketika engkau ikut berjihad fisabilillah.”

(Muslim)


Huraian
Walaupun Rasulullah s.a.w diberi jaminan oleh Allah bahawa usaha untuk mendaulatkan agama Islam akan mendapat kejayaan pada akhirnya, namun baginda tidak diberi laluan mudah. Sebaliknya Allah memerintahkan baginda supaya berjuang dan berjihad dengan segala yang ada bagi mencapai kemenangan yang telah dijanjikan-Nya itu. Mereka tetap diminta supaya mengorbankan fikiran, tenaga, harta benda, malah jiwa raga untuk agama kerana kemenangan tidak akan dapat dicapai dengan kuasa ghaib tanpa perjuangan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berlindung Dari Mala Petaka

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Berlindung Dari Mala Petaka
Hadith :
Daripada Ubai bin Kaab r.a. katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila sampai 1/3 malam baginda pun bangun lalu bersabda, “ Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) yang diikuti dengan peristiwa yang amat dahsyat (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut). Aku berkata:“ Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?” Baginda menjawab’ “Seberapa yang banyak kamu kehendaki”. Aku bertanya lagi, 1/4? Beliau menjawab, seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika separuh?” beliau menjawab, “ Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika 2/3?” Baginda menjawab seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepada mu?” Baginda menjawab, “Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu”.

(Hassan)

Huraian
1. Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan mengingati mati kerana kematian adalah seumpama kiamat kecil bagi setiap manusia yang hidup. Bahkan kematian akan datang pada bila-bila masa dalam berbagai bentuk termasuk dengan berlakunya sesuatu bencana.
2. Mala petaka yang datang seperti gempa bumi, ombak besar (tsunami), tiupan angin yang kuat (puting beliung) dan sebagainya adalah ujian yang ditentukan oleh Allah S.W.T. bagi menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya.
3. Oleh itu umat manusia khususnya umat Islam hendaklah sentiasa beringat (jangan lalai dan alpa) dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya di samping berselawat ke atas baginda Rasulullah saw. sepanjang masa dan berdoa agar dijauhi dari segala mara bahaya dan bencana yang menimpa.
4. Orang yang banyak berselawat adalah orang yang paling rapat dengan baginda di akhirat kelak di mana segala permohonan dan kehendaknya akan diperkenankan oleh Allah S.W.T di samping itu segala dosanya akan diampunkan dan sentiasa mendapat perlindungan dari-Nya.
5. Sesungguhnya arahan Rasulullah saw. supaya umatnya memperbanyakkan selawat adalah juga disertai dengan suruhan agar kita tidak meninggalkan perintah agama serta menjauhi segala larangannya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Muslim Yang Terpelihara

Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk :
Muslim Yang Terpelihara
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Memaki orang Muslim adalah (fasiq) dan membunuhnya, kafir.”

(al-Bukhari)

Huraian
Orang yang memperhatikan keadaan manusia pada zaman ini akan dapat melihat betapa hebatnya kefasikan yang telah melanda kehidupan mereka. Ini disebabkan keadaan masing-masing sesama umat Islam tidak lagi memberi erti persaudaraan sebagaimana yang dituntut oleh agama sebaliknya mereka saling kutuk-mengutuk, memaki hamun dan ada pula yang sampai ke tahap sanggup membunuh. Lantas terjadilah perlanggaran hukum yang akhirnya mencacatkan nama baik Islam hingga Islam itu dipandang sebagai agama yang ganas dan bersifat keras. Sesungguhnya inilah perosak ummah yang menjadi duri dalam daging bagi seluruh umat Islam. Mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dan kepentingan diri tanpa memikirkan akibat yang bakal ditanggung. Oleh itu setiap Muslim hendaklah memastikan apa jua tindakan yang dilakukannya itu tidak melanggar batasan syariat dan sekali-kali tidak menjadi fitnah pada agama kerana hal ini bukan sahaja mendatang dosa bahkan memporakperandakan kesejahteraan bersama.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Qana’ah

Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk :
Qana’ah
Hadith :
Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya.”

(Muslim)


Huraian
Rasulullah s.a.w telah menasihatkan kita agar melihat kepada orang yang di bawah. Jangan melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang demikian itu akan membuatkan kita menjadi tidak bersyukur. Namun itulah masalahnya yang berlaku pada setiap daripada kita. Sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Tetapi ini bukan pula bererti bahawa kita tidak boleh mengejar yang lebih baik. Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada keizinan daripada-Nya.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ingin Melihat Tuhan?

Kategori : AKIDAH Tauhid Iman
Tajuk :
Ingin Melihat Tuhan?
Hadith :
Dari Abdullah bin Syaqiq, katanya: “Kataku kepada Abu Zar: Sekiranya saya berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. nescaya kutanyakan kepada beliau suatu soalan. Kata Abu Zar:” Tentang apa?” Jawab Abdullah:” Apakah tuan melihat Allah?” Kata Abu Zar:” Itu pernah ku tanyakan kepada beliau, dan dijawabnya:” Saya hanya melihat sinar (nur)”.

(Muslim)

Huraian
Masuk syurga itu adalah nikmat yang teramat besar. Namun, kenikmatan syurga tiada sebanding dengan nikmat menatap wajah Allah secara langsung. Itulah puncak dari segala puncak kenikmatan dan kebahagiaan. Rasulullah s.a.w sendiri menjanjikan hal ini dan baginda pernah menyebut bahawa umatnya akan dapat melihat Allah SWT di hari akhirat kelak. Tentang melihat Allah ini, Allah SWT berfirman mengisahkan permintaan Musa untuk melihat-Nya: “Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka nabi Musa (merayu dengan) berkata:” Wahai Tuhan ku, perlihatkanlah kepadaku (zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu.” Allah berfirman: ”Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada di tempatnya (sebagaimana sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku.” Setelah Allah ‘Tajalla’ (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) ‘Tajallinya’ menjadikan gunung itu hancur lebur dan nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula berkatalah ia:” Maha Suci Engkau (wahai Tuhan ku), aku bertaubat kepada Engkau dan akulah orang pertama beriman (pada zamanku)” (al- A’raf : 143). Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, tiada daya sekalian makhluk melainkan dengan keizinan dan rahmat-Nya jua.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kunci Kemurahan Rezeki

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Kunci Kemurahan Rezeki
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”



Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)
ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.
iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Islam Dan Ekonomi Saling Memerlukan

Kategori : MUAMALAT Kewangan Islam
Tajuk :
Islam Dan Ekonomi Saling Memerlukan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.”

Riwayat at-Thabrani

Huraian
i) Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka tetapi mesti dalam batasan syariah yang dibenarkan.
ii) Kedhaifan ekonomi umat Islam sebahagiannya adalah berpunca daripada kegagalan mereka sendiri mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.
iii) Harta bukanlah untuk tujuan keduniaan semata-mata tetapi juga untuk tujuan keakhiratan dan melaksanakan ibadat. Contohnya untuk menunaikan ibadah haji umat Islam memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos dan perbelanjaan dengan secukupnya.
iv) Adalah penting untuk umat Islam menguasai semua peringkat kegiatan ekonomi seperti menjadi pembekal, pengusaha dan pemasar dalam sesebuah industri di mana selain daripada dapat mengelak ia dimanipulasi dan ditindas oleh orang lain, mereka juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya. Hal ini juga termasuk dalam konteks jihad yang dituntut oleh agama.
v) Sikap mengabaikan keperluan ekonomi di dunia akan melemahkan kedudukan serta martabat orang Islam itu sendiri. Dalam masa yang sama ia memudahkan umat Islam dieksploitasikan oleh orang lain.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Nilai Seorang Manusia

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Nilai Seorang Manusia
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”

Riwayat Muslim

Huraian
i) Setiap manusia nilainya yang paling utama terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya bukanlah pada rupa parasnya. Jika baik tingkahlakunya maka baiklah dia pada pandangan kita, begitulah sebaliknya.
Ii) Namun pada pandangan Allah S.W.T selain daripada tingkahlaku dan amalan, nilai yang terpenting adalah pada niat orang yang melakukan sesuatu amal perbuatan itu sendiri.
Iii) Maksud niat di sini adalah tujuan sesuatu perkara dilakukan iaitu sejauh mana keikhlasannya kerana sesuatu kebaikan yang ada ‘udang di sebalik batu’ tidak boleh dikategorikan sebagai ikhlas di mana maksud ikhlas tersebut ialah membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain daripada balasan Allah S.W.T.
Iv) Lawan ikhlas adalah riya’ iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan (niat) untuk menunjuk-nunjuk (mengampu atau membodek). Sifat ini akan menolak pahala daripada Allah S.W.T.
V) Seorang yang ikhlas dalam kerjanya bererti dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai satu ibadah di mana wajib ke atasnya melaksanakan tanggungjawabnya itu dengan sempurna dan memuaskan.
vi) Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja-kerja yang bermutu di mana keikhlasan akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kenapa Belajar dan Mengajar?

Kenapa Belajar dan Mengajar?
www.iluvislam.com
Dihantar oleh : al_bukhari
Editor : almusafirq8



Maksud hadis: Daripada Saad bin 'Ubadah, daripada Abi Abd Rahman as-Sulami, daripada Uthman bin Affan ra, daripada Nabi SAW bersabda:

"Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya"

(Riwayat oleh Bukhary, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie, Ahmad dan ramai lagi).


Sebuah Hadis daripada Abu Hurairah ra. , bahawa Baginda Nabi SAW bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang menunjukkan ke jalan kebaikan, akan diberi kepadanya pahala sebanyak mana pahala orang yang melaksanakan kebaikan tersebut, tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka semua itu. Seterusnya sesiapa yang menunjukkan ke jalan kesesatan, akan diberi kepadanya dosa, sebanyak mana dosa orang yang telah melaksanakan kesesatan tersebut, tanpa kurang sedikit pun daripada dosa-dosa mereka semua itu.”

Diriwayatkan oleh Imam Abu Hanifah Bin Nukman daripada Hammad bin Ibrahim berkata:

“Dibentangkan amalan seseorang dan diletakkan di atas satu timbangan, ternyata ringannya. Seterusnya didatangkan pula sesuatu yang besar seolah-olah awan, maka diletakkan di atas satu timbangan yang lain, maka ternyata benda tersebut memberatkan timbangannya. Maka dikatakan kepadanya: “Tahukah kamu apakah benda ini?” . Maka Dia menjawab: “Tidak tahu”. Maka diberitahu kepadanya: “Inilah kelebihan ilmu yang engkau mengajarkannya kepada orang lain.”

Wednesday, 9 June 2010

Tujuh Golongan Insan Contoh

Tujuh Golongan Insan Contoh
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :
a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya – Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
- Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah
- Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”
- Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya
-Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.
g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah
- Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia